Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA gembira puasa BERJAYA MENCAPAI 103 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

11  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1067.
Dari Abu Hurairah r,a., katanya: "Rasulullah saw. melarang orang melakukan puasa wishal. Maka berkata seorang lelaki muslim kepada beliau: "Bukankah anda sendiri melakukan puasa secara wishal, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw.: "Tidak seorang pun di antara kamu yang menyamai ku. Bila hari telah malam, aku diberi makan dan minum oleh Tuhan ku." Ketika ternyata mereka enggan hendak berhenti puasa wishal, Nabi saw. puasa pula secara wishal bersama-sama mereka dua hari berturut-turut. Sesudah itu bulan (Syawal) datang. Lalu beliau bersabda: "Seandainya bulan (Syawal) belum terbit nescaya ku teruskan puasa wishal bersama-sama kamu semua - Rasulullah mengucapkan sabdanya itu dengan nada marah, kerana mereka enggan dilarangnya puasa wishal."

12  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1099.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. belum lama tiba di Madinah, didapatinya orang-orang Yahudi puasa pada hari 'Asyura. Maka bertanya beliau kepada mereka, "Hari apakah ini, sehingga anda semua mempuasakannya?" Jawab mereka, "Hari ini hari besar, di mana Allah telah memenangkan Musa serta kaumnya, dan menenggelamkan Firaun serta kaumnya. Kerana itu Musa puasa setiap hari itu untuk menyatakan syukur, lalu kami mempuasakannya pula." Maka bersabda Rasulullah saw., "Kami lebih berhak dan lebih patut memuliakan Musa daripada kamu semua." Lalu Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura dan memerintahkan kaum muslimin puasa pada hari itu.

13  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1095.
Dari 'Abdullah Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Kaum Jahiliyah puasa pada hari 'Asyura. Sedangkan Rasulullah saw. dan kaum muslimin pernah juga mempuasakannya sebelum perintah wajib puasa Ramadhan diturunkan. Maka ketika puasa Ramadhan telah diwajibkan, Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya hari 'Asyura itu suatu hari di antara hari-hari kebesaran Allah. Kerana itu siapa yang mahu puasa hari itu silakan dan siapa yang tidak mahu boleh meninggalkannya."

14  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1125.
Dari 'Aisyah,Ummul Mukminin r.a., katanya: "Rasulullah saw. sering puasa sehinga kami mengira bahawa beliau akan puasa seterusnya. Dan beliau sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat beliau puasa terus sebulan penuh kecuali bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat beliau puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'ban."

15  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1083.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. melakukan suatu perjalanan jauh dalam bulan Ramadhan, sedangkan beliau puasa. Setelah sampai di 'Usfan, beliau minta bejana berisi minuman lalu diminumnya di siang hari itu supaya dilihat orang ramai. Selanjutnya beliau berbuka hingga masuk kota Makkah." Kata Ibnu 'Abbas r.a., "Dalam perjalanan itu Rasulullah saw. puasa dan berbuka. Maka siapa yang suka puasa boleh puasa dan siapa yang suka berbuka ia boleh tidak puasa."

16  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1105.
Dari Rubayyi' binti Mu'awwidz bin 'Afra' r.a., katanya: "Suatu pagi hari 'Asyura, Rasulullah saw. mengirim petugas ke perkampungan orang Ansar yang berada di sekitar Madinah, untuk menyampaikan pengumuman: "Siapa yang puasa sejak pagi hendaklah disempurnakannya puasanya, dan siapa yang tidak puasa hendaklah dia puasa sejak mendengar pengumuman ini. Semenjak itu kami puasa pada hari 'Asyura, dan kami suruh pula anak-anak kecil kami, insya Allah. Kami bawa mereka ke masjid dan kami buatkan mereka main-mainan dari bulu. Apabila ada yang menangis minta makan, kami berikan setelah waktu berbuka tiba."

17  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2330.
Dari Abu Hurairah ra. katanya:"Bahawasanya Nabi saw. sering mendoa minta perlindungan kepada Allah Taala dari suratan takdir yang buruk, dari mendapat celaka, dari kegembiraan musuh (kerana penderitaan beliau), dan dari tekanan cubaan."

18  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0028.
Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu ketika Nabi saw. berada dalam suatu perjalanan bersama Mu'adz bin Jabal, sedangkan Mu'adz membonceng di kenderaan beliau. Sabda Rasulullah saw., "Hai, Mu'adz!" Jawab Mu'adz, "Hamba, ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw., "Hai, Mu'adz!" Jawab Mu'adz, "Hamba, ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw., "Hai, Mu'adz!" Jawab Mu'adz, "Hamba, ya Rasulullah!" Sabda Rasulullah saw., "Tidak seorang jua pun hamba yang mengucapkan syahadat, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad hamba-Nya dan Rasul-Nya, melainkan Allah mengharamkannya atas neraka," Kata Mu'adz, "Apakah harus ku sampaikan kepada orang ramai, supaya mereka gembira?" Jawab Nabi saw., "Kalau-kalau nanti mereka berpangku tangan saja," Tetapi Mu'adz menyampaikannya juga ketika dia hampir meninggal, kerana dia takut berdosa tidak menyampaikan hadis,"

19  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0132.
Dari 'Urwah bin Zubair, katanya 'Aisyah r.a., isteri Rasulullah saw. bercerita kepadanya: "Wahyu yang mula-mula turun kepada Nabi saw. ialah berupa mimpi nyata waktu tidur, yang terlihat jelas oleh beliau bagaikan cahaya Subuh. Semenjak itu timbul keinginan di hati beliau hendak bersunyi diri. Kerana itu beliau pergi mengasingkan diri ke Gua Hira'. Di sana beliau beribadat beberapa malam sampai perbekalannya habis. Apabila perbekalannya telah habis, beliau pulang ke rumah Khadijah untuk mengambilnya lagi dan setelah itu beliau kembali pula ke sana. Keadaan itu berlangsung beberapa lama, sehingga pada suatu ketika beliau dikejutkan oleh kedatangan malaikat Jibril ke Gua Hira' itu. Malaikat berkata kepadanya, "Bacalah!" Jawab Nabi saw., "Aku tidak pandai membaca." Kata Nabi, "Malaikat itu serta merta merangkul ku, sehingga aku kepayahan kerananya. Kemudian aku dilepaskannya, lalu katanya: "Bacalah!" Jawab ku, "Aku tidak pandai membaca." Kerana itu aku dirangkulnya untuk kedua dan ketiga kali, sehingga aku kepayahan. Kemudian aku dilepaskannya, lalu katanya: "Bacalah nama Tuhan mu yang mencipta. Yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan, Tuhan mu itu Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) menulis. Yang mengajar manusia apa yang belum diketahuinya." (AI 'Alaq: 1-5). Setelah itu Rasulullah saw. kembali pulang, membawa ayat-ayat dan pengalaman yang baru dialaminya itu dengan tubuh menggigil gemetaran. Sampai di rumah Khadijah, beliau berkata, "Selimuti aku! Selimuti aku!" Khadijah segera menyelimutinya. sehingga hilang rasa keterkejutannya. Kemudian ia berkata kepada Khadijah, "Wahai, Khadijah! " Bagaimana aku ini?" Lalu diceritakannya kepada Khadijah segala peristiwa yang baru saja dialaminya. Setelah itu beliau berkata: Aku cemas terhadap diri ku ini." Jawab Khadijah, "Jangan! Jangan cemas! Gembirakanlah hati Anda! Percayalah, Allah tidak akan menimpakan kehinaan pada diri Anda selama-lamanya. Bukankah Anda selalu bersikap ramah tamah, menghubungkan silaturrahim, selalu berbicara benar, selalu menunaikan tugas kewajipan, menyediakan yang belum ada, memuliakan tetamu, dan membela orang-orang yang kesusahan demi menegakkan kebenaran!" Kemudian Khadijah membawa beliau mendatangi Waraqah bin Naufal bin Asad bin 'Abdul 'Uzza, iaitu anak pakcik Khadijah, yang telah memeluk agama Nasrani sejak masa Jahiliyah. Dia pandai menyalin buku-buku ke bahasa Arab. Antara lain dia menyalin Kitab Injil ke bahasa Arab seberapa yang dapat ditulisnya. Dia pun sudah tua dan matanya telah buta. Khadijah berkata kepadanya, "Wahai anak pakcik ku! Dengarkanlah anak saudara mu ini (Muhammad) bercerita!" Jawab Waraqah bin Naufal, "Hai, anak saudara ku! Apakah gerangan yang telah engkau alami? Ceritakanlah!" Rasulullah saw. lalu menceritakan pengalaman yang baru dialaminya. Kata Waraqah, "Itu adalah malaikat (namus) Jibril a.s. yang pernah datang kepada Nabi Musa a.s., Wahai, diri ku! Kalaulah aku masih muda, Wahai, kiranya diri ku! Kalaulah aku masih hidup ketika engkau diusir oleh wargamu " Tanya Rasulullah saw., "Apakah mereka akan mengusir ku?" Jawab Waraqah, "Ya, benar! Tidak seorang pun yang datang membawa apa (ayat-ayat) yang engkau bawa itu yang tidak dimusuhi. Sekiranya aku masih mendapati hari itu, pasti aku akan membelamu sekuat-kuatnya."

20  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2308.
Dari 'Aisyah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang ingin bertemu dengan Allah nescaya Allah ingin pula bertemu dengannya. Dan siapa benci bertemu dengan Allah, nescaya Allah benci pula bertemu dengannya." Lalu aku bertanya : " Apakah yang dimaksud membenci mati? Kerana kami semua benci akan mati." Jawab beliau, "Bukan begitu! Tetapi setiap orang mukmin apabila diberi khabar gembira dengan rahmat Allah, dengan keredhaan-Nya dan dengan syurga-Nya, nescaya dia ingin bertemu dengan Allah. Maka Allah ingin pula bertemu dengannya. Sedangkan orang kafir, apabila diberi khabar dengan 'azab Allah dan dengan kemarahan-Nya, dia benci bertemu dengan Allah dan Allah benci pula bertemu dengannya."